Thursday, January 14, 2016

PAYUDARA BENGKAK


Maksu (mak menyusu)!!

Pernah tak alami masalah ni?


Bengkak payudara bermakna payudara terlalu penuh, sebahagiannya dengan susu dan sebahagiannya lagi disebabkan oleh peningkatan cecair tisu dan darah yang mengganggu pengaliran susu. Payudara kelihatan berkilat, keras, tegang, sakit dan susu tidak mengalir.

Apabila susu mula mengalir banyak, pengaliran darah akan meningkat ke payudara sama seperti pengaliran susu. Payudara akan berasa hangat, penuh dan berat. Ini menunjukkan payudara penuh. Untuk mengurangkan payudara yang penuh, susui bayi secara kerap dan lakukan tuaman sejuk sewaktu bayi tidak menyusu. Dalam beberapa hari, payudara akan menyesuaikan penghasilan susunya mengikut keperluan bayi.

Jika susu tidak dikeluarkan, saluran susu, darah dan sistem limfatik akan menjadi padat dan berhenti mengalir dan akhirnya menyebabkan bengkak . Payudara akan terasa panas, keras, sakit, tegang dan berkilat. Puting pula menjadi tegang dan leper. Ini akan menyebabkan bayi sukar untuk melekap dan akhirnya puting akan luka.

Jika bengkak payudara berterusan, bahan penghalang penghasilan susu (feedback inhibitor) akan mengurangkan penghasilan susu ibu.

Bagaimana nak kendalikan payudara yang bengkak?
  1. Periksa pelekapan. Adakah bayi melekap dengan betul pada payudara. Jika tidak, pastikan bayi melekapkan bibirnya pada payudara dengan sebaiknya untuk mengeluarkan susu. Oh ya. Cadangkan pada ibu untuk memerah sedikit susu terlebih dahulu sebelum bayi menyusu untuk melembutkan areola. Ini akan memudahkan bayi untuk melekap.
  2. Jika dengan menyusu tidak dapat mengurangkan bengkak, nasihatkan ibu memerah susu di antara waktu penyusuan untuk beberapa kali sehingga ibu rasa lebih selesa.
  3. Galakkan penyusuan yang lebih kerap. Galakkan ibu menyusu bayinya pada bila-bila masa dan seberapa lama yang bayi mahu.
  4. Lakukan tuaman suam (tuala lembap) pada areola sebelum menyusu untuk meransang pengaliran susu. Mandi air suam boleh merangsang pengaliran susu. 
  5. Urutan leher dan belakang badan atau lain-lain teknik yang menenangkan juga boleh merangsang pengaliran susu.
  6. Bantu ibu untuk lebih selesa. Ibu mungkin perlu mengampu payudaranya jika besar.
  7. Tuaman sejuk boleh mengurangkan kesakitan pada payudara sewaktu bayi tidak menyusu.
  8. Beri sokongan dan bina keyakinan ibu dengan menerangkan bahawa bengkak payudara akan sembuh tidak lama lagi.
Mengurangkan bengkak dengan mengeluarkan susu daripada payudara ini dapat:
  1. Mengurangkan ketidakselesaan ibu.
  2. Mengelak komplikasi seterusnya seperti radang payudara (mastitis) dan bengkak bernanah.
  3. Membantu untuk memastikan penghasilan susu berterusan.
  4. Memastikan bayi boleh menerima susu ibu.
Semoga cepat lega dan terus bersemangat untuk meneruskan penyusuan. InsyaAllah, kesabaran akan membuahkan kejayaan!

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?