Beberapa post di bawah ni sebenarnya viral di FB. Tapi disebabkan ia telah meninggalkan jejak di hati ini, jadi saya repost supaya tidak hilang begitu saja. Tq kepada si penulis. Moga Allah merahmati kalian.
Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak telefon bila dah semua urusan selesai, Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital Balik Pulau, saya pulang kerumah dan menunggu Mak talipon bila dah siap nanti.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya tiba-tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam, Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital, sesekali saya didukung kerana tak kuat berjalan, di atas bas saya baring di ribaan Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya, di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa di dalam pelukan Mak, selesai rawatan, sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung, sempat dibawa ke kedai dan Mak cakap 'adik nak beli apa apa ke' sampai di rumah saya dipujuk untuk makan ubat, dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.
Habis saja kenangan itu berlalu di fikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital, 'hujan lebat di dalam kereta' sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan, saya sembunyikan air mata saya yang ditahan supaya tidak mengalir di hadapan Mak, saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak, mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak, saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat,selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta, membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya 'Mak ada nak beli apa apa ke',
YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.
Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor, rawatan susulan.
Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial-kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka, bayangkan di sini ada blok A, blok B dan sangat luas, ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah, beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya, saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugilah seandainya mereka mempunyai anak anak dan anak-anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.
Alhamdulillah, setakat ini saya gagah ke sana sini berjalan laju di hospital, namun seandainya saya berada di tahap Mak, saya dan Mak-Mak dan Ayah-Ayah yang saya lihat di IJN ini, saya akan rasa selesa, bangga, terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai 'SEMANGAT'.
Anak anak sekelian,saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.
Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا .
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil'.
Al Isra' 23 & 24
Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad
Institut Jantung Negara IJN,
Kuala Lumpur,
Kuala Lumpur,
4-5-2016
POST 2
Seorang suami mengadu rezekinya asyik sempit. Semua serba tak cukup. Terasa dunia ni sempit. Dah usaha macam-macam. Semua cara dah buat. Hati pun resah dan rasa nak marah jer..kenapa yer ustaz?
Abang ada ibubapa lagi ke? Mak ayah saya dah tiada. Abang ada isteri tak? Ada ustaz. Saya ada 3 orang anak...
Saya beri 2 kunci rezeki dan ketenangan datang dalam hidup kita. Sayang dan jaga isteri dengan baik. Dan jaga solat. Sebelum mula kerja solat 2 rakaat. Nak buat apapun. Minta pada Allah dulu..
Dia diam termenung. Kemudian dia cakap betul ke rezeki kita ada kaitan dengan isteri. Jawab saya bagaimana keberkatan nak datang dalam hidup kita jika menyedihkan dan menyakitkan orang yang setia dan berkorban tinggalkan keluarganya untuk bersama kita..sangkaan dan isi hati mereka doa yang kuat untuk kita..
Silaturrahim asbab rezeki terbesar. Allah janji rezeki dan umur berkat dengan jaga silaturrahim dan menyambungkannya.
Jika kita sakitkan kucing atau tipu kucing pun kita akan rasa hidup ini tak tenang kerana kita sedang buat salah. Inikan pula isteri kita..
Saya lihat dalam hidup ini semua orang yang bahagia dan berjaya bermula bila mereka bahagia bersama isteri mereka. Saat kita mula menipu, menyakitkan, menyusahkan pasangan, hidup jadi serba tak kena...
Cuba abang mulakan dengan buat baik terhadap isteri. Mencintai dan menghargainya..
Tak lama dia jumpa saya. Katanya ya Allah rezeki saya bertambah. Semuanya jadi mudah dan lapang. Hati saya tenang. Bila saya betulkan silap saya. Saya jaga hatinya dan hargainya. Saya buat apa yang dia suka..
Silaturrahim membuka pintu rezeki...inikan bersama isteri kita yang tercinta.
Dulu pernah seorang pekedai dia rasa kedainya dibuat orang. Kena sihir. Dah buat macam-macam. Tapi tetap rugi. Dia jumpa saya. Saya kata padanya abang ada buat buruk kepada isteri tak?
Jawabnya yer ustaz. Saya tipu isteri saya. InsyaAllah saya betulkan. Selepas itu rezekinya mencurah-curah..
Ramai orang kaya raya hidupnya jadi sempit dan tak tenang kerana lupa diri dan menyakitkan hati orang tersayang amanah Allah.
Sebenarnya bersyukur dan menghargai ibubapa, isteri dan anak-anak itulah rezeki paling besar. Isteri yang solehah sentiasa mendoakan dan menyokong suami agar rahmat Allah mencurah-curah...
- Ustaz Ebit Lew -
POST 3
HIKMAH DI SEBALIK UJIAN
Suatu hari ada sebuah kapal yang tenggelam dipukul badai. Semuanya hancur musnah.
Tiada anak kapal yang terselamat kecuali seorang pemuda yang berjaya mendapatkan pelampung.
Dia terdampar di sebuah pulau kecil yang tak berpenghuni, keseorangan, dan tidak punya bekal makanan.
Dia terus berdoa pada Tuhan untuk menyelamatkannya dari kesusahan itu.
Setiap saat, si pemuda memandang ke penjuru laut, mengharap ada kapal yang datang mendekat.
Sayangnya, pulau itu terlalu terpencil. Hampir tiada kapal yang melewatinya.
Lama kemudian, pemuda itu pun merasa penat untuk berharap. Lalu untuk menghangatkan badan, dia membuat unggun api, sambil mencari kayu dan pelepah nyiur untuk tempatnya beristirahat.
Dia membuat khemah dari daun-daun dan batang pokok yg tumbuh di hutan, sekadar tempat untuk melepas penat lelah.
Disusunnya semua daun nyiur dengan cermat, agar khemah itu kukuh dan dapat bertahan lama.
Keesokan harinya, pemuda itu mencari makanan. Dicarinya buah-buahan untuk mengisi perut yang lapar.
Seluruh pelusuk pulau dijelajah kemudian dia kembali ke khemahnya.
Sesampai di situ, dia terkejut. Semuanya telah hangus terbakar, khemah yang dibuatnya dengan penat lelah dijilat api malah hampir tak bersisa.
Khemah itu terbakar kerana unggun api yang lupa dipadamkannya. Asap membumbung tinggi, dan hilanglah semua kerja kerasnya semalam.
Anak muda berteriak marah, "Ya Tuhan !! mengapa Engkau lakukan ini padaku? Mengapa? Mengapa?", teriak pemuda itu mengenang nasibnya.
Tiba-tiba terdengar bunyi kapal. Ternyata ada sebuah kapal yang datang. Kapal itu mendekati pantai, dan turunlah beberapa orang menghampiri pemuda yang sedang menangis itu.
Pemuda itu terkejut. Lalu bertanya, "Bagaimana kalian boleh tahu aku ada disini?"
Mereka menjawab, "Kami melihat kepulan asap yg dibuat olehmu!!"
Renungan :
Teman, sangat mudah bagi kita, untuk marah ketika musibah datang menimpa kita.
Duka yang kita terima, nampak seakan begitu berat namun ingatlah kita tak boleh kehilangan hati kita.
Sebab Allah selalu ada di dalam hati kita, walau dalam keadaan yang paling berat sekali pun.
Dan ingatlah, ketika "asap dan api " yang membumbung dan terbakar dalam hati anda, jangan kecil hati.
Jangan sesali semua itu. Jangan hilangkan perasaan sabar dalam kalbu.
Boleh jadi, itu semua adalah sebagai tanda dan simbol bagi orang lain untuk datang pada kita lalu menolong kita.
Semua hal buruk yang kita fikirkan, akan selalu ada jawapan yang terbaik dariNya.
Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat kita. Jangan hilangkan harapan itu.
Kongsikan. Semoga lebih ramai mendapat manfaat.
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?