Saturday, April 25, 2015

SABAR DALAM MENJEMPUT REZEKI

Came across satu blog ini semasa menjalankan sesi blogwalking, saya tertarik dengan post beliau dan eloklah saya kongsikan di sini. Semoga pahala En. Zulkifli berpanjangan....amiiin.

*********************************************************************************************************


Jeles tengok kawan-kawan berjaya. Kerja stabil, bisnes part time dia pun dah maju. Harta banyak; ada rumah sewa beberapa buah, dah beli beberapa ekar kebun getah yang boleh ditoreh. Anak-anak dia pun belajar pandai-pandai. Umur muda lagi tapi dah berjaya. Memang jeles tengok dia. Nak ukurkan kejayaan dia berbanding kita, kita dah jauh ketinggalan.
Itulah mainan perasaan biasa bila tengok orang berjaya. Saya pun macam tu. Kekadang sampai rasa rendah diri. Tapi bila saya ingatkan jaminan Tuhan tentang rezeki, hati rasa lega… Memang dah ada rezeki untuk kita, tak perlu dirisau-risaukan. Kita cuma perlu usahakannya dengan betul dan sabar.

Rezeki Tuhan Berbeza Rupa

Tuhan bagi rezeki kepada setiap orang tu dalam pelbagai rupa. Bukan hanya pada duit dan harta. Ada orang yang Tuhan bagi banyak harta, tapi Dia tak bagi kesihatan. Ada orang Tuhan bagi pasangan yang ideal, tapi Dia tak bagi zuriat. Ada orang Tuhan bagi rupa yang cantik, tapi Dia tak bagi pasangan hidup yang baik. Ada orang yang Tuhan bagi anak-pinak yang ramai, tapi Dia tak bagi harta yang berjuta. Pendek kata, Tuhan tak bagi semua benda kepada semua orang. Setiap orang Tuhan bagi kelebihan dan kekurangan. Rezeki yang Tuhan berikan kepada setiap orang tu bentuknya berbeza-beza.
Jadi, tak perlu dirisaukan sangat tentang kekayaan dunia melebihi kerisauan kita tentang Akhirat sebab memang Allah tak bagi semua benda kepada semua orang. Apa yang penting, kita cek apa nikmat yang Tuhan dah bagi pada kita, dan belajar untuk bersyukur. Apa yang Allah belum bagi, kita doa, usaha dan tawakkal sebab Dia lebih tahu bila waktu terbaik untuk untuk kita. Ada benda yang kita rasa baik, tapi Tuhan lebih tahu apa yang terbaik. Ada benda yang kita tak suka, tapi Tuhan tahu itulah terbaik untuk kita.

Kekayaan Bermatlamatkan Tuhan

Bagi saya, memang kekayaan kena cari, tapi kekayaan yang kita cari tu mesti ada kena mengena dengan Tuhan, bukan sekadar untuk cari makan. Kalau nak banyak harta sebab nak bermewah, kena ingat, harta tu semua pasti kita akan tinggalkan kepada waris. Tak akan berbaki sikit pun untuk kita bila mati. Kalau nak kaya sebab nak bermewah jer, rugilah kalau umur tak panjang.
Kekayaan yang kita cari tu hanya akan bermakna kalau matlamatnya kerana Tuhan. Kalau tak sempat kaya sekalipun, kita tetap kaya di sisi Tuhan. Contohnya, nak jadi kaya sebab lebih mudah berbakti kepada ibubapa sebab memang itu suruhan Tuhan. Nak jadi kaya sebab nak bagi pendidikan terbaik untuk anak-anak supaya jadi ummat kebanggaan Rasulullah s.a.w. Nak jadi kaya sebab boleh fokus membangunkan masyarakat setempat supaya taat kepada Allah. Nak jadi kaya, sebab nak tolong orang miskin dan anak yatim. Nak jadi kaya dengan bisnes yang boleh sebarkan rahmat Tuhan dengan produk yang servis yang kita ada. Itu semua kekayaan yang bermatlamatkan Tuhan. Kalau mati belum sempat kaya sekalipun, kita memang dah kaya dah di sisi Tuhan.

Memaknakan Sebuah Kehidupan

Bila kaya yang kita cari matlamatnya Tuhan, baru kita tahu yang mana “alat”, yang mana “tujuan”. Kereta, rumah, pakaian, duit, dan harta tu semuanya “alat”. Tujuannya; senang beribadah, senang berbuat bakti dalam kehidupan, senang berbuat kebajikan, senang bersilaturrahim, senang berbuat ketaatan, senang berkasing-sayang, senang sempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan.
Kereta mewah tak ada makna, melainkan digunakan untuk berziarah kukuhkan silaturrahim dengan keluarga. Kereta mewah tak ada makna, melainkan untuk keluar sebarkan rahmat Tuhan melalui pekerjaan, bisnes atau program kebajikan. Rumah besar tak ada makna, melainkan untuk wujudkan keluarga yang taat perintah Tuhan, untuk bersilaturrahim meraikan keluarga, tetamu dan sahabat handai. Duit banyak tak ada makna, melainkan untuk sempurnakan tanggungjawab yang Tuhan berikan dalam berkeluarga, berjiran, bersahabat dan bermasyarakat. Pakaian cantik tak ada makna, melainkan untuk tutup aurat suruhan Tuhan. Makanan sedap tak ada makna, melainkan untuk sihat tubuh badan, memudahkan ibadah kepada Tuhan dan berbakti dalam kehidupan.
Itulah makna sebenar dalam kehidupan. Bukan sekadar mencari “alat”, tapi memanfaatkan “alat” untuk mencapai “tujuan” sebenar kehidupan.

Hidup Ini Terlalu Singkat

Yang keduanya kena ingat, hidup ni bukannya lama pun. Pejam, celik, pejam, celik, dah 10 tahun masa berlalu. Dulu bujang, sekarang dah kahwin. Rasa baru jer kahwin, sekarang dah beranak pinak. Rasa macam baru jer dapat anak kecik, sekarang anak dah masuk sekolah. Rasa macam baru jer anak masuk sekolah, oh sekarang dah masuk universiti. Pejam, celik, pejam, celik, sedar-sedar anak dah kahwin dah. Tak lama lagi dapat pangkat “datuk” pulak dah.
Oh, sekejapnya masa berlalu. Dunia kata pergi, kubur kata mari.
Renungan ni bukan nak melemahkan motivasi dan mengekalkan status quo, tapi supaya kita rasa bersyukur dan bersabar. Syukur dengan apa yang dah ada. Bersabar dengan apa yang belum ada. Jangan letakkan makna hidup dihujung matlamat, tapi maknakanlah hidup disepanjang usaha mengejar matlamat. Supaya setiap apa yang kita buat, semuanya ada “point” mencapai matlamat.

Mencari Keuntungan Dalam Kerugian

Contohya, buat bisnes memang nak untung, tapi ada juga urusniaga yang tak untung, bahkan rugi pun ada. Kalau makna hidup kita hanya pada untung duit jer, memang rugilah kita sebab ‘untung sebenar’ kita boleh dapat walaupun urusniaganya rugi. Ada juga urusniaga yang tak untung, tapi kita untung sebab bersilaturrahim. Ada juga urusniaga yang rugi, tapi kita tetap untung sebab dapat berbakti. Ada juga bisnes rugi, tapi kita tetap untung sebab Allah ingatkan kita supaya jangan lupa diri. Itu semua ‘makna hidup’ yang kita boleh kutip sepanjang usaha kita kejar matlamat.
Kalau tak sempat kaya sekalipun kita tak risau sebab kita memang dah ‘kaya’ di sisi Tuhan. Samada kaya atau miskin, kita tetap akan kembali ke tempat asal kita iaitu Tuhan. Jadi, bersabarlah dalam mencari kekayaan.
Wallahu a’lam.


Sr. Sup Asmaniza & Ziyauddin
SID 888128
0124430919/0124430929
COD Changlun

FB Dinas Zafran / Ziyauddin Mohamad

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?