Showing posts with label Informasi. Show all posts
Showing posts with label Informasi. Show all posts

Saturday, December 3, 2016

BETUL KE SUSU TAK CUKUP?

Kawan-kawan saya baru dalam dunia penyusuan selalu cakap camni. Susu tak cukup la, anak tak puas menyusu la.

Betul ke anak tak cukup susu? Dia ada cakap ke?

Tahu tak yang perut bayi kecik saja dan dia tak minum sebanyak bayi yang menyusu dengan susu formula?

http://yourfabulousmama.net/

Selalunya, bayi kerap menangis terutama pada minggu-minggu awal kelahiran. Ramai beranggapan susu tak cukup, atau susu ibu menyebabkan anak kembung, atau alahan atau sebab lain yang kadang-kadang tak masuk dek akal pun.

"Bagi sajalah susu tin, rimas dengaq anak dok teriak".
" Tu la aku kata, kena top up susu formula. Susu badan ni tak kenyang!".

Kata-kata yang tidak memberi semangat sebegini, sedikit sebanyak akan mengurangkan keyakinan ibu untuk menyusukan anaknya. Sebab tulah saya kata peranan suami yang berilmu dan memahami sangat diperlukan pada saat-saat ini. Tapi kalau suami tak memahami ilmu penyusuan, hmmm....x tau nak cakap apa lagi!

Emosi ibu ni fragile tau. Kadang-kadang ibu keletihan, stress, tidak difahami, ditambah pula dengan hormon-hormon yang masih belum stabil.

Sebenarnya kan, tahu tak kenapa bayi menangis, asyik merengek dan nak melekap dengan ibunya?. 


Selama sembilan bulan dia berada di tempat yang gelap, nyaman dan selamat, didodoikan dengan degupan jantung ibunya setiap masa. Dia tidak perlu menghisap bagi mendapatkan makanan kerana semua zat yang diperlukan daripada ibu disalurkan terus kepada anak melalui tali pusat. Tapi, selepas dilahirkan, semuanya bertukar 360 darjah!. Oleh itu, kepada ibu, pada fasa awal kehidupan anak anda, susukan anak walaupun dia menolak kerana tidak begitu mahir lagi, peluk dan dakapi dia, sentiasa lakukan sentuhan dari kulit ke kulit supaya bayi rasa selamat, rasa selesa, berbual-bual dengan dia, alunkan zikir dan ayat-ayat Al Quran atau nursery rhyme yang mendamaikan. Yups!, memang perlukan kekuatan dan kesabaran sedikit, tapi InsyaAllah, lama-kelamaan kita akan kenal dengan lebih mendalam bayi kita dan dan boleh baca apa yang bayi perlukan!.

Pss. Bayi kita tu hanya boleh berkomunikasi dengan cara menangis saja. Selain lapar, nak bermanja, sejuk, panas, mungkin kita patut check dulu lampin dia. Jadi janganlah cepat buat andaian susu badan tak cukup ya. 

Apa petanda bayi sebenarnya cukup susu?
  • Bayi kelihatan tenang dan kenyang selepas menyusu. Biasanya bayi tertidur dan melepaskan sendiri puting payu dara
  • Kulit bayi tegang dan lembab
  • Berat badan bayi bertambah mengikut umur (rujuk carta tumbesaran bayi)
  • Kekerapan kencing dan pembuangan air besar mencukupi. Kalau lampin bayi berat setiap kali kita nak tukar, rasanya susu badan yang diminum mencukupi tak?

  1. Jika umur bayi sehari, bilangan lampin kencingnya sekurang-kurangnya 1 dan bilangan lampin bernajis sekurang-kurangnya 1 hingga 3.
  2. Umur 2 hari, bilangan lampin kencingnya sekurang-kurangnya 2 dan bilangan lampin bernajis sekurang-kurangnya 3. Najisnya bewarna coklat, kehijauan atau kekuningan.
  3. Umur 3 dan 4 hari, bilangan lampin kencingnya sekurang-kurangnya 3 hingga 4 dan bilangan lampin bernajis sekurang-kurangnya 3.
  4. Umur 5 hari dan seterusnya, bilangan lampin kencingnya sekurang-kurangnya 4-6 di mana air kencingnya mula jernih dan cair dan bilangan lampin bernajis sekurang-kurangnya 3, di mana najis berwarna kuning keemasan, lembik dan berbiji.


Untuk pengetahuan, pada tiga hari pertama kelahiran, air kencing bayi biasanya sedikit, adakalanya berwarna kemerahan ataupun seumpama karat. Ini adalah perkara normal dalam 72 jam yang pertama selepas bayi dilahirkan kerana kandungan asid urik yang tinggi. 

Menarik tau topik ini, ibu-ibu yang nak tau lebih lanjut boleh KLIK SINI

Ibu pula, kalau nak tahu susu badan mencukupi untuk bayi atau tidak, sila lah monitor perkara berikut:
  • Payu dara ibu yang penuh, menjadi lembik setelah menyusu. Rasa macam puas sangat bila anak kita direct feeding kan!. Anak kita sememangnya pengepam yang baik!
  • Ibu haus dan berpeluh selepas sesi penyusuan
  • Susu turut keluar dari payu dara sebelah lagi
Jadi, teruskan perjuangan anda wahai ibu-ibu comel. Gali lagi ilmu pengetahuan dan ajak suami bersama-sama menjadi hero dalam dunia penyusuan ini, ok!

Sumber : Buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu


Jom Shaklee!

Sr. Sup Asmaniza & Ziyauddin
SID 888128
0124430919/0124430929
COD Changlun
FB Dinas Zafran / Ziyauddin Mohamad 

Friday, December 2, 2016

ADA KAITAN ATAU TIDAK SUSU IBU DENGAN GIGI BAYI?

Cuti sekolah memberikan saya lebih masa untuk membaca. Dan saya nak kongsi sedikit maklumat tentang kaitan antara penyusuan dengan gigi anak kita. 

Ada pendapat mengatakan kalau kita menyusukan anak pada waktu malam meningkatkan risiko gigi anak kita berlubang. Betulkah?

Tahukah anda, dua orang pakar pergigian, Dr. Brian Plamer dan Dr. Harold Torney membuat kajian terhadap tengkorak dari zaman pra sejarah dan mendapati sebelum bermulanya era penggunaan botol, bayi kecil tak mendapat gigi berlubang. Kajian antropologi menunjukkan masalah gigi bermula lapan ribu sehingga 10 ribu tahun lampau, manakala anatomi manusia moden sudah wujud sejak 100 ribu tahun lalu. Ini bermakna, tiada masalah kerosakan gigi dalam kalangan bayi selama 92 ribu tahun, sehinggalah penggunaan botol susu (of course dengan susu formula) diperkenalkan!. Masa zaman pra sejarah, bayi minum susu apa ya?

Lepas tu, kajian yang dibuat di Amerika Syarikat dari tahun 1999 sehingga 2002 mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan penyusuan susu ibu dalam tempoh singkat ataupun panjang menyumbang secara langsung kepada masalah gigi bayi!. Begitu juga dengan kajian yang dijalankan di Tehran, Iran pada tahun 2008 yang menunjukkan dapatan yang sama, walhal kebanyakan ibu di Iran menyusukan bayi mereka dalam tempoh yang lama!.

Ibu-ibu comel sekalian, tahukah anda bahawa susu ibu melindungi gigi?

Ini kerana susu ibu mengandungi mineral yang diperlukan untuk menguatkan gigi. Bakteria yang menyebabkan kerosakan gigi dalam mulut manusia tidak dapat menggunakan laktos sebagai sumber tenaga sebaik sukros. Laktoferrin yang terdapat dalam susu ibu juga menghalang zat besi digunakan oleh bakteria untuk membiak. Ia menghalang perkembangan bakteria yang merosakkan gigi. Paling bagus sekali, pembiakan bakteria di dalam mulut dihalang oleh antibodi, secretory IgA dan IgG yang terdapat di dalam susu ibu. 

Mulut bayi baru lahir wangi kan?

Ini kerana bayi baru lahir tidak mempunyai sebarang kuman di dalam mulut mereka. Kalau adapun bakteria jahat tu, ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti kucupan serta berkongsi alatan makanan dan minuman daripada kita jugak!

Sebenarnya, menurut Dr. Pamela Erickson, seorang penyelidik dari Amerika Syarikat, susu tiruan, yakni susu formula lah yang cenderung menyebabkan kerosakan gigi. Sesetengah susu tiruan menghakis permukaan dan menyebabkan kerosakan gigi. Susu tiruan berkemungkinan menurunkan pH di dalam mulut dan menyebabkan kerosakan gigi berlaku!.

Sesetengah susu tiruan merangsang pembiakan bakteria di dalam mulut dan menyebabkan kerosakan gigi seawal umur beberapa minggu selepas kelahiran.

Ibu-ibu yang memberi anak mereka susu formula hendaklah sentiasa memastikan mulut anak anda dicuci sama ada secara mengelap dengan kain basah yang bersih atau meminta anak berkumur (jika anak sudah besar) supaya kerosakan gigi akibat susu formula yang manis tersebut tidak berlaku! 

* Sumber : Buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu.

Cantik tak gigi saya?
Azaad Afkar Zafran (menyusu penuh 2 tahun setengah)

Jom Shaklee!

Sr. Sup Asmaniza & Ziyauddin
SID 888128
0124430919/0124430929
COD Changlun
FB Dinas Zafran / Ziyauddin Mohamad

Thursday, July 2, 2015

KE UNIVERSITI RAMADHAN PULA KITA...

Sebelum ini, sibuk bercerita tentang Universiti Shaklee, antara medan ukhuwwah dan ilmu yang dihadiri hampir setiap hari!. Tapi kan, jangan pula lupa tentang satu lagi platform ilmu terbesar, di mana di sinilah tempatnya semua manusia yang cintakan Allah dan RasulNya akan berlumba-lumba memanfaatkan 30 hari ISTIMEWA yang belum tentu akan kita temuinya lagi pada musim akan datang. Inilah dia UNIVERSITI RAMADHAN.

Saya kongsikan TULISAN INI, moga mendapat manfaat bersama.

********************************************************************************************************

SEHARI hari lagi, bulan Ramadhan akan tiba. Sebagai tuan rumah, bulan mulia ini telah mendapat tamu kehormat bernama al-Qur'an.  Dapat secara keseluruhan dalam satu kitab atau turun pertama kalinya dalam lima ayat Surat al-'Alaq. Yang pertama disebut lailatul qadri, dan kedua nuzulul Qur'an. 

Maka, bulan Ramadhanlah yang terpilih sehingga ianya menjadi mulia, barakah, dan tersemai benih rahmat. Semua itu semata-mata atas kehendak Allah SWT.  Ramadhan memang bernasib baik. Tentu kitapun ingin bernasib seperti itu, yakni dipilih Allah sebagai tempat turun wahyu Al-Qur'an?

Kita ingin Al-Qur'an turun pada diri sanubari kita, dalam bentuk hidayah dan taufiq. Bukan hanya sebatas dalam bentuk bacaan, hafalan, dan pemahaman, sekalipun ketiga itu sebenarnya penting dalam rangka meraih petunjukNya. Tetapi jika tiga hal itu tersangkut  di tengah jalan tanpa melangkah pada jalan Allah, tingkat munafik kita makin terserlah dan sukar beralih menjadi Muslim kaffah.


Oleh itu, kita mesti banyak berguru kepada bulan Ramadhan. Berada di bulan itu sama seperti berada di sebuah pusat pengajian tinggi, pondok atau universiti..Anggaplah kita berada di sebuah universiti, 'Universiti Ramadhan Al-Mubarak'. Selama sebulan penuh kaum Muslimim menjalankan masa pendidikan di 'fakulti' masing-masing sesuai bakat, kemampuan, dan peranannya.

Kita memang sama-sama beriman, tetapi tugas dan kualiti tentu berbeza. Yang sama adalah semangat dan cita-cita kita untuk diujinilai oleh Allah dengan gelaran Muttaqin. Selepas berjaya ujian itu, kita rayakan kemenangannya. Itulah hari Lebaran, atau Hari Raya Aidiul Fitri. Sejarah mencatatkan 9 kali Rasulullah SAW dan ummat Islam zaman itu merayakan hari raya 'Idul Fitri.

Pada Hari Raya ke 9 itu, Rasulullah dan kaum Muslimin merasakan puncak kemenangan lahir dan batin. Bukan hanya menang dalam pengertian individu, iaitu berupa tunduknya hawa nafsu dalam kekuasaan dirinya yang fitrah, tetapi juga kemenangan menyeluruh termasuk politik di kota Makkah. Kemenangan kerana tunduknya seluruh manusia di kota itu, Tunduk di bawah suatu kekuasaan atau sebuah karajaan kebajikan yang bebas merdeka, berslogankan 'La ilaha illallah'.

Itulah puncak kemenangan sebenarnya. Sudah sejak lama kita merindukan kemenangan 'Idul Fitri sebagaimana yang pernah dialami ummat Islam di zaman Rasul itu. Kita rindukan sebuah pemerintahan Islam, bebas dan berkebjikan untuk rakyat. Bukan sebuah kerajaan asobiyah, perkauman, perasuah, bahkan menjadi sumber kemaksiatan.  Bukan saja di peringkat lokal, nasional bahkan internasional.

Kerana itu, sepatutnya umat Islam termasuk pemimpin-pemimpinnya, tampil baik, melangkah di jalan Allah dan dalam petunjuk-Nya. Ya, semestinyalah penampilan umat Islam mencerminkan peribadi sebagai orang yang bertaqwa, sebagai muttaqin.   
  • "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." (Al- Hujurat: 13)

********************************************************************************************************

Kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Tahukah kita antara fadiat dan hikmah puasa tersebut?

PUASA bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya : “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu".

Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Brhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”. - (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.

SYAITAN DIIKAT
Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadan.

Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara keistimewaan puasa juga, Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Allah berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.
Rasulullah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka".

Diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh dari ibadat puasa:

SIFAT IKHLAS
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya.

Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya dan kerana mengharapkan pahala dan reda Allah, dia tidak melakukannya.

Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

MUJADALAH DAN KEKENTALAN JIWA
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan. Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.

SABAR
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.

MEMELIHARA FIZIKAL
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

PRIHATIN DAN BELAS KASIHAN
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

MEMBUKA HIJAB ANTARA DIRI DENGAN ALLAH
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

MENGENALI ERTI KEJAYAAN SEBENAR
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

RASA BELAS DAN LEMAH LEMBUT
Rasulullah S.A.W mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata “Aku berpuasa!.” 

Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

MEMPERKUKUH KESATUAN UMMAH
Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan bulan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan,warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.

MERAPATKAN HUBUNGAN DENGAN ALAM
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya.

MENJAGA MASA
Puasa mengajar seorang Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadan, seorang Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.

KESIHATAN TUBUH BADAN
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden atau tradisi.

*** Artikel ini dipetik dari buku Panduan Puasa Ramadhan susunan Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia disiarkan dalam versi digital menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jom semua, kita masuk 'Universiti Ramadhan Al-Mubarak'. Berguru kepada bulan Ramadhan bererti berguru kepada Al- Qur'an. Akrab dan bercumbu dengan Ramadhan bererti cinta kepada Al-Qur'an. Menghayati Ramadhan tanda kita patuh kepada perintah Allah dan NabiNya. Marilah kita berlumba-lumba, belajar dan berjaya di Universiti Ramadhan, demi meraih kasihNya!.


Sr. Sup Asmaniza & Ziyauddin
SID 888128
0124430919/0124430929
COD Changlun
FB Dinas Zafran / Ziyauddin Mohamad

Saturday, April 25, 2015

INFORMASI REJAB : APA YANG PERLU KITA KETAHUI

Menelusuri beberapa web untuk mencari maklumat malam ini, tergerak hati untuk kongsi sedikit penjelasan mengenai Bulan Rejab  yang saya baca dalam web e-FATWA ini.


********************************************************************************************************


Oleh:

Dr.Arieff Salleh bin Rosman,

Felo Fatwa
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.
vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.
HARAM MENYEBAR HADIS PALSU
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.
Wallahu a'lam.

Sr. Sup Asmaniza & Ziyauddin
SID 888128
0124430919/0124430929
COD Changlun

FB Dinas Zafran / Ziyauddin Mohamad